TAK SEMPAT TATAP ANAK. SUAMI MANGSA H1N1 TERKILAN KEHILANGAN DUA INSAN RAPAT NAMUN REDA DENGAN KETENTUAN ALLAH.
JASIN: Saya amat terkilan kerana arwah isteri tak sempat menatap wajah anak kami walaupun kami pernah berjanji untuk memberi kasih sayang sepenuhnya kepada bayi ini.
Bagaimanapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah. Ini ujian terbesar pernah saya hadapi, apatah lagi terpaksa membesar dua anak yang kehilangan ibu tersayang, kata Mustadza Sarmat, 29, suami kepada mangsa terbaru wabak Influenza A (H1N1), Sumarni Md Nor, 30, yang meninggal dunia, Jumaat lalu.
Lebih menyedihkan, kata Mustadza, dia turut kehilangan ibu mertua, Maimunah Dimah, 54, Rabu lalu, yang turut disahkan dijangkiti wabak itu.
Ibu mentua sebelum ini menghidap diabetis kronik hingga menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong hingga ke paras betis. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini dia diserang batuk berpanjangan menyebabkan keadaan kesihatannya bertambah buruk.
Apabila saya membawanya ke Klinik Kesihatan Merlimau, Selasa lalu, saya diarah merujuk ibu mentua ke Hospital Melaka bagi mendapat rawatan lanjut tapi dia menghembuskan nafas terakhir keesokan harinya, katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14 1/2 Jalan Jasin, Merlimau dekat sini, kelmarin.
Jenazah Sumarni dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Rimba, Sungai Rambai.
Maimunah meninggal dunia disebabkan komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke Hospital Melaka pada Selasa lalu dengan simptom penyakit seakan influenza (ILI).
Wanita terbabit kemudian diberi vaksin Tamiflu, bagaimanapun masalah kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan komplikasi akibat kegagalan buah pinggang, jangkitan kuman dan kencing manis.
Sementara, Allahyarham Sumarni yang juga anak kedua wanita itu yang hamil 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan tanda kelemasan bayi dalam kandungan. Dia turut menunjukkan gejala ILI dan disahkan positif H1N1.
Rawatan dimulakan bagi menyelamatkan bayi dan pembedahan dilakukan pada hari sama. Namun, selepas pembedahan, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia akibat 'Adult Respiratory Distress Syndrome' pada Jumaat lalu.
Ujian terhadap bayi perempuan itu, bagaimanapun dia nagetif H1N1 dan kini dalam keadaan stabil.
Sementara itu, suami kepada Maimunah, Md Nor Md Nasir, 65, berkata isterinya batuk dan selesema berpanjangan sejak 27 Mac lalu sebelum keadaan bertambah teruk pada awal minggu lalu dan dibawa ke Hospital Jasin Selasa lalu.
Katanya, isterinya kemudian dirujuk ke Hospital Melaka kerana paru-parunya disyaki dijangkiti kuman.
Apabila tiba di hospital, keadaan isteri saya tidak berubah dan keesokannya dia meninggal dunia dan disahkan dijangkiti wabak H1N1. Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor, katanya.
(Nota: Sedutan dari akbar Harian Metro, Isnin, 5 April 2010)
No comments:
Post a Comment